Wednesday 18 January 2012

PETIKAN DARI KITAB “HADITH 40” OLEH AL-IMAM AN-NAWAWI

HADIS 2

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.

Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: “Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam.”
Lalu Rasulullah SAW bersabda: “lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.”
Lelaki tersebut berkata: “Benarlah engkau!”
Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.

Dia bertanya: “Terangkan kepadaku tentang lman.”
Baginda bersabda: “(lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk.”
Lelaki itu berkata: “Benarlah engkau!”

Dia berkata lagi: “Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan.”
Baginda bersabda: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Terangkan kepadaku tentang Qiamat.”
Baginda bersabda: “Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.”
Lelaki itu berkata: “Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya.”
Baginda bersabda: “(Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan.”

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam beberapa lama.

Kemudian Baginda bertanya: “Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?”
Aku berkata: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.”
Baginda bersabda: “Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.”

Hadis riwayat al-lmam Muslim

Pengajaran hadis:

  1. Agama lslam adalah agama yang datang dari Allah. Oleh itu ia dipanggil agama samawie atau bersifat Rabbaanie, iaitu bersumberkan wahyu dari langit yang diturunkan melalui malaikat Jibril. la bukanlah agama ciptaan akal manusia yang cetek, kerana itu ia amat sesuai untuk seluruh umat manusia di setiap tempat dan zaman.
  2. Hadis ini menerangkan tiga tunggak agama, iaitu rukun lslam, rukun iman dan ihsan.
  3. Rukun lslam lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji di Baitullahilharam.
  4. Rukun lman enam perkara iaitu percaya atau beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari Qiamat dan beriman dengan qadar baik dan buruk datang dari Allah.
  5. Kesempurnaan seorang mukmin akan tercapai apabila dia menunaikan segala rukun lslam, menyempurnakan tuntutan rukun iman dan sifat ihsan.
  6. lslam tidak sempurna kalau hanya diambil dari segi zahir sahaja, atau batin sahaja atau aspek kerohanian semata-mata. Kesempurnaan lslam hanya akan terserlah apabila diamalkan keseluruhannya.
  7. llmu dalam lslam mestilah dipelajari secara berguru dan berdasarkan panduan yang betul. llmu agama tidak boleh dipelajari melalui mimpi dan sebagainya.
  8. Seorang murid mestilah mempunyai adab-adab yang tinggi sebagaimana beradabnya Jibril ketika datang mengadap Rasulullah SAW untuk bertanya beberapa soalan agama. Demikian juga seorang guru mestilah mempunyai adab yang tinggi. Dia sewajibnya hanya mengajar atau menjawab soalan yang diketahui dan meninggalkan apa yang dia tidak tahu. ltu adalah tanda wara' para ulama dan orang berilmu.
  9. Hari qiamat adalah peristiwa besar yang menjadi salah satu rukun lman. Tiada seorang manusiapun yang tahu bila ia akan berlaku, walaupun Rasulullah SAW. la adalah sebahagian dari ilmu ghaib yang tidak diketahui kecuali oleh Allah SWT. Sesiapa yang mengaku tahu bila berlaku qiamat atau mengetahui ilmu ghaib, maka dia adalah seorang penipu besar.
  10. Walaupun tarikh qiamat tidak diketahui, namun ada beberapa tanda yang menunjukkan ia hampir tiba, antaranya ialah terjadi peristiwa seorang ibu melahirkan tuannya atau bossnya sendiri, yang menjadi hamba kepada anaknya. Di akhir zaman juga berlaku peristiwa si-miskin yang papa merempat bertukar menjadi hartawan yang kaya raya.

Thursday 31 March 2011

PETIKAN DARI KITAB “HADITH 40” OLEH AL-IMAM AN-NAWAWI


HADITH 1

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih.

Hadis ini adalah salah satu hadis utama dalam lslam.

Antara pengajaran hadis:

1. Niat adalah teras segala amalan.
  • Amalan baik mesti disertakan niat yang baik.
  • Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syara', tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik.
  • Demikian juga amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah, seumpama kerana riya', menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.
  • Ulama ada berkata: Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya.

2. Hijrah adalah suatu peristiwa besar dalam lslam di mana umat lslam diperintahkan berhijrah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan dikurniakan pahala besar, sebaliknya jika kerana dunia atau perempuan, maka dia hanya mendapat apa yang diniatkannya.

3. Walaupun hijrah sudah tiada lagi, namun hijrah dengan makna meninggalkan maksiat kepada melakukan taat, ia juga dianggap hijrah yang akan dikurniakan pahala.

Saturday 26 March 2011

"Amanah Ad-Deen"

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekelian 'Alam yang telah memberi kekuatan kepada diriku untuk memulakan bicara didalam "Amanah Ad-Deen" ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Nabi dan Rasul terakhir yang telah diutuskan Allah di atas muka bumi ini dengan ajaran Islam yang suci dan terpelihara sebagai ad-deen atau cara hidup atau 'the way of life'.

InsyaAllah, "Amanah Ad-Deen" akan cuba mengetengahkan perbincangan mengenai pelbagai perkara dan isu berkaitan Islam yang akan didasarkan kepada sumber-sumber yang qat'ie iaitu Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w,  pandangan ulama' serta pendapat sendiri bagi perkara-perkara yang santai dan tidak melibatkan hukum-hakam.

Sebarang teguran diatas kekhilafan fakta amatlah diharapkan agar kita tidak terjerumus ke dalam dosa tanpa disedari... ku pohon taufiq, hidayah serta pengampunan dari Allah s.w.t. agar usaha ini menjadi suatu usaha yang bermanafaat ke atas diriku dan orang-orang yang membaca serta menyebarkannya... Redhailah usaha kami ini, Ya Allah!