Thursday 31 March 2011

PETIKAN DARI KITAB “HADITH 40” OLEH AL-IMAM AN-NAWAWI


HADITH 1

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih.

Hadis ini adalah salah satu hadis utama dalam lslam.

Antara pengajaran hadis:

1. Niat adalah teras segala amalan.
  • Amalan baik mesti disertakan niat yang baik.
  • Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syara', tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik.
  • Demikian juga amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah, seumpama kerana riya', menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.
  • Ulama ada berkata: Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya.

2. Hijrah adalah suatu peristiwa besar dalam lslam di mana umat lslam diperintahkan berhijrah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan dikurniakan pahala besar, sebaliknya jika kerana dunia atau perempuan, maka dia hanya mendapat apa yang diniatkannya.

3. Walaupun hijrah sudah tiada lagi, namun hijrah dengan makna meninggalkan maksiat kepada melakukan taat, ia juga dianggap hijrah yang akan dikurniakan pahala.

Saturday 26 March 2011

"Amanah Ad-Deen"

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekelian 'Alam yang telah memberi kekuatan kepada diriku untuk memulakan bicara didalam "Amanah Ad-Deen" ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Nabi dan Rasul terakhir yang telah diutuskan Allah di atas muka bumi ini dengan ajaran Islam yang suci dan terpelihara sebagai ad-deen atau cara hidup atau 'the way of life'.

InsyaAllah, "Amanah Ad-Deen" akan cuba mengetengahkan perbincangan mengenai pelbagai perkara dan isu berkaitan Islam yang akan didasarkan kepada sumber-sumber yang qat'ie iaitu Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w,  pandangan ulama' serta pendapat sendiri bagi perkara-perkara yang santai dan tidak melibatkan hukum-hakam.

Sebarang teguran diatas kekhilafan fakta amatlah diharapkan agar kita tidak terjerumus ke dalam dosa tanpa disedari... ku pohon taufiq, hidayah serta pengampunan dari Allah s.w.t. agar usaha ini menjadi suatu usaha yang bermanafaat ke atas diriku dan orang-orang yang membaca serta menyebarkannya... Redhailah usaha kami ini, Ya Allah!